Awal Ashaari dan Scha timang anak kedua, Lara Alana dapat adik perempuan
Astro Awani
February 12, 2021 16:16 MYT
February 12, 2021 16:16 MYT
KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya menerima kehadiran cahaya mata kedua pada sekitar pukul 9.15 pagi ini.
Menurut Awal, isterinya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
“Kedua -dua bayi dan mommy berada dalam keadaan baik dan masih berehat buat masa ini. Kami juga memohon maaf kerana tidak dapat menerima pelawat disebabkan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.
“Kami bersyukur di atas amanat ini dan berterima kasih di atas doa serta sokongan yang diberikan kepada Scha, Awal & Lara sekeluarga,” kata Awal dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya pada Jumaat.
Awal juga memaklumkan, Scha dan cahaya mata kedua mereka itu dijangka pulang ke rumah dalam masa beberapa hari.
“Insya-Allah, kami akan berkongsi perkhabaran gembira ini dengan anda semua kelak," kata Awal lagi.
Tidak berkongsi sebarang nama, namun, Awal dalam hantaran itu memberi bayangan dengan mengalu-alukan kehadiran ‘Baby L’ ke dalam kehidupan mereka sekeluarga.
Awal dan Scha yang mendirikan rumah tangga pada 2012 sebelum ini dikurniakan anak perempuan, Lara Alana yang kini berusia enam tahun.