Floria 2013 tarik 800,000 pengunjung meskipun jerebu
Bernama
June 30, 2013 07:31 MYT
June 30, 2013 07:31 MYT
Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2013, berjaya menarik 800,000 pengunjung selepas sembilan hari, biarpun berdepan masalah jerebu.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata selain sambutan orang ramai, penyertaan pereka bentuk dan penghias dari dalam dan luar negara, termasuk 23 pereka taman antarabangsa yang mewakili 18 negara dan 'World Flower Council' meletakkan Floria Putrajaya ke tahap global.
"Walaupun tidak menepati sasaran sejuta pengunjung, namun kami berpuas hati. Festival ini memberikan suatu nilai tambah kepada landskap pelancongan Putrajaya dengan menonjolkan kepelbagaian dan keunikan flora yang berwarna-warni yang terdapat di negara ini.
"Reka bentuk taman dan pemilihan bahan binaan taman juga didapati semakin maju dan moden tanpa meminggirkan ciri keaslian serta tradisi masyarakat Malaysia dan antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis penutup Floria 2013 yang disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan hari Ahad.
Beliau berkata sebanyak 83 lot pameran taman bunga dan landskap pelbagai kategori dan reka bentuk berjaya memikat hati pengunjung.
Aseh berkata Floria Putrajaya juga berjaya mencatat empat inovasi utama iaitu 'The Longest Landscaped Vertical Wall' sepanjang 343 meter (dicatat dalam Malaysia Book of Records), Taman Diraja yang direka bentuk serta dibina berasaskan Istana Kota Tengah Alor Setar bercirikan Taman Inggeris dan Perancis, Taman Inovasi serta Taman Jamuan Teh.
"Komitmen persatuan bunga antarabangsa yang menjadi juri pertandingan dengan sendirinya mencatat satu rekod baharu bagi Floria.
"Begitu juga peningkatan bilangan penggubah bunga antarabangsa dari Singapura, China dan Taiwan juga telah menambah kepelbagaian jenis serta warna kepada Floria," katanya.
Beliau berkata sebelum penganjuran Floria 2013, PPj menghantar tiga kumpulan teknikal dan pengurusan untuk melakukan lawatan kerja ke Melbourne Flower Show di Australia, Keukenhof Flower Show di Belanda dan Chelsea Flower Show di United Kingdom bagi melihat serta mempelajari kaedah serta pengisian penganjuran festival bunga antarabangsa yang memahat nama di kalender pelancongan dunia.
Di sebalik kejayaan Floria 2013, Aseh memberi jaminan Floria 2014 akan lebih meriah dan berwana-warni dengan pelbagai penambahbaikan.