Pengasas Telegram ditahan: 'Pembuka mata' bagi platform media sosial
Bernama
August 25, 2024 20:51 MYT
August 25, 2024 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Penahanan pengasas aplikasi Telegram Pavel Durov adalah satu insiden teladan yang memerlukan perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat agar lebih sedar akan risiko maklumat yang dikongsi atau disebarkan melalui platform media sosial.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata dalam konteks Malaysia, insiden ini menunjukkan realiti kepentingan platform media sosial yang dikendalikan dengan moderator untuk mengelakkan aktiviti berunsur jenayah.
Beliau berkata, penahanan itu juga mencerminkan kepentingan platform media sosial dipertanggungjawabkan dan mematuhi nilai dan peraturan negara masing-masing serta memastikan platform tersebut menghormati rangka kerja undang-undang dan budaya unik sesebuah negara sambil tetap membenarkan kebebasan bersuara.
"Situasi ini menggariskan isu penting di mana walaupun banyak negara termasuk di Eropah memperjuangkan kebebasan bersuara tetapi masih terdapat batasan apabila melibatkan hal mencegah penyalahgunaan.
"Isu ini amat relevan di Malaysia di mana kebebasan bersuara dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tetapi juga tertakluk kepada had yang digariskan dalam Perkara 10(2)(a), 10(2)(b) dan 10(4). )," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Di samping itu, Noor Nirwandy berkata pendekatan Malaysia terhadap kebebasan bersuara mencerminkan keseimbangan antara hak individu dan keselamatan negara.
"Keseimbangan ini bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan media sosial bagi tujuan yang boleh menjejaskan keselamatan awam atau keselamatan negara.
"Oleh itu, platform media sosial seperti Telegram perlu selaras dengan prinsip nasional seperti Rukun Negara yang menekankan penggunaan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab," katanya.
Durov ditangkap di Perancis pada petang Sabtu (24 Ogos) selepas dilaporkan tiba di negara itu melalui Lapangan Terbang Le Bourget berhampiran Paris dari Azerbaijan, menurut Agensi Berita Jerman (dpa), memetik laporan tempatan Perancis.
Menurut penyiar rangkaian televisyen komersial Perancis (TF1) dan rangkaian siaran berita televisyen dan radio Perancis BFM TV, Durov, yang dikehendaki di Perancis telah ditangkap di bawah waran atas kesalahan berkaitan aplikasi pemesejan popular itu.
Media berita tersebut melaporkan bahawa siasatan awal boleh dimulakan terhadap Durov, kelahiran Rusia yang mengasakan Telegram berpengkalan di Dubai, seawal Ahad.
TF1 dan BFM TV turut melaporkan penyiasatan tertumpu kepada kekurangan moderator di Telegram dan polis menganggap situasi itu membawa kepada aktiviti jenayah berterusan di aplikasi terbabit.
-- BERNAMA