PKPB: "Anda akan dapat semula kebebasan jika patuh SOP" - Ismail Sabri

Isabelle Leong
October 20, 2020 19:17 MYT
Menurut Ismail Sabri, keputusan sama ada PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah disambung atau ditamatkan masih belum diputuskan kerajaan.
KUALA LUMPUR: “Tuan-tuan dan puan-puan akan mendapat kebebasan semula jika patuh pada SOP.”
Demikian nasihat Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri kepada rakyat di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ismail Sabri berkata, dengan mematuhi SOP dan terus mengamalkan kawalan kendiri, rakyat boleh membantu mempercepatkan penamatan perintah PKPB yang dilaksanakan.
“Apa yang boleh membantu mempercepatkan tamatnya PKPB ini adalah tuan-tuan dan puan-puan.
“Jika tuan-tuan terus patuh pada SOP yang diperkenalkan kerajaan dan terus mengamal kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka di tempat awam, sentiasa mencuci tangan dan melakukan penjarakan sosial serta patuh di dalam setiap aktiviti yang dibenarkan, Insya-Allah, mungkin kawasan di bawah PKPB boleh diisytiharkan tamat.
“Tuan-tuan dan puan-puan akan mendapat kebebasan semula walaupun masih tertakluk kepada SOP PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya dalam sidang media harian PKPP.
Beliau berkata, keputusan sama ada PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah disambung atau ditamatkan masih belum diputuskan kerajaan.
Katanya, keadaan akan terus berubah dan bergantung kepada keadaan semasa COVID-19.
#perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #kebebasan #SOP #kawalan kendiri #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
;