Bawa senjata ke sekolah: Hanya untuk guru yang pandai menggunakannya - Trump

Agensi
February 26, 2018 06:25 MYT
Trump bercakap ketika mengadakan perbincangan mengenai tembakan di sekolah dengan gabenor negeri di White House, Washington, 26 Feb, 2018. REUTERS
"Saya bukan mahu semua guru membawa pistol ke sekolah, hanya mereka yang pandai menggunakannya."
Begitu tegas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika memberi respon kepada laporan mengenai langkah membenarkan guru membawa senjata api ke tempat kerja bagi mengelakkan insiden tembakan rambang di sekolah.
Trump berkata demikian ketika berucap di hadapan gabenor-gabenor negeri dari seluruh negara di White House pada Isnin.
Langkah tersebut diperkenalkan Trump selepas kes tembakan di sebuah sekolah di Florida yang mengakibatkan 17 maut, rata-ratanya pelajar Marjory Stoneman Douglas High School, Parkland.
BACA: Trump buka mulut lagi, kali ini cadang guru sekolah diberi senjata
BACA: Serangan berdarah Florida: Trump sedia bincang isu keselamatan di sekolah
BACA: Syerif di Florida sedia latih guru bawa senjata ke sekolah
Menurutnya, guru yang dilatih dan mempunyai bakat semulajadi harus diberi kebenaran membawa pistol ke sekolah.
Tambah Trump, salah satu cara lagi untuk mengelakkan insiden tembakan di sekolah ialah dengan mengenakan denda bagi kesalahan itu.
"Mereka yang melakukan jenayah ini harus faham, terdapat implikasi yang serius jika mereka mahu membunuh pelajar kita," katanya.
Langkah yang diperkenalkan Trump itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif beberapa pihak termasuk Gabenor Washington, Jay Inslee, salah seorang anggota Demokrat yang turut mengecam.
"Kita harus kurangkan memuat naik entri di laman Twitter dan lebihkan mendengar," kata Inslee menyindir presiden negara Uncle Sam itu yang kerap membuat kenyataan di akaun Twitter miliknya.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Florida #Gabenor Washington #guru #Jay Inslee #jenayah #mangsa #sekolah #senjata #tembakan #Twitter #Washington #White House
;