Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 26, 2022 23:59 MYT
April 26, 2022 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sealsa,26 April 2022.
Pertemuan beberapa pemimpin kerajaan dan ahli perniagaan Indonesia dengan pengasas Tesla Inc, serta bakal pemilik baharu Twitter Elon Musk, ternyata menarik perhatian banyak pihak.
Kemenangan Emmanuel Macron menentang pencabar dari parti sayap kanan Marine Le Pen dalam pilihan raya presiden Perancis pada Ahad bukan sahaja memberi kelegaan kepada pemimpin Eropah tetapi juga kepada dunia.
Pihak berkuasa Sepanyol membekukan 12 akaun bank dan dana serta menyita tiga kapal layar dan 23 harta milik oligarki Rusia sejak krisis di Ukraine bermula, kata ketua setiausaha negara pada Isnin.
Diskriminasi terhadap orang Islam di Amerika Syarikat meningkat sembilan peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan kumpulan hak sivil dan advokasi Islam pada Isnin.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin meluluskan Veklury (remdesivir) untuk digunakan kepada kanak-kanak dijangkiti COVID-19, seawal usia 28 hari dengan berat sekurang-kurangnya tiga kilogram (kg) dan ke atas.
Jutawan Elon Musk telah mencapai persetujuan membeli Twitter dengan harga kira-kira AS$44 bilion.
Wanita tertua di dunia, Kane Tanaka dilapor meninggal dunia pada usia 119 tahun.
India negara ketiga terbesar di dunia berbelanja untuk ketenteraan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut badan pemerhati senjata antarabangsa.
Angka korban melibatkan tragedi bot pelancong yang hilang pada hujung minggu lalu di Semenanjung Shiretoko, Hokkaido, Jepun meningkat kepada 11 orang. Ini selepas mangsa, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun disahkan meninggal dunia pada Isnin.
Satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di Bryansk, Barat Rusia melibatkan sebuah kemudahan penyimpanan minyak pada Isnin. Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, api dilihat marak sehingga asap hitam tebal memenuhi ruangan udara.